Bimbingan, atau guidance dalam bahasa Inggeris, membawa erti memberi panduan atau nasihat kepada seseorang.
Mengikut Crow dan Crow (1983), bimbingan, di bawah konteks pendidikan merujuk kepada bantuan atau pertolongan yang diberikan dengan betul kepada pelajar yang berkenaan.
Pelajar yang memerlukan bimbingan merujuk kepada pelajar yang menghadapi masalah peribadi dari segi intelek, rohani, emosi ataupun social. Masalah-masalah yang dihadapi oleh pelajar biasanya boleh digolongkan dalam dua kategori yang utama, iaitu masalah akademik dan masalah emosi-sosial. di dalam proses bimbingan, pelajar yang berkenaan akan diberi panduan atau nasihat yang boleh membantunya menyelesaikan masalah tertentu.
Manakala, kaunseling mengikut Shertzer dan Stone (1968), ialah proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan situasinya.
Menurut Arbuckle (1965), kaunseling bukan bertujuan menolong klien menyesuaikan diri dengan alam sosial, tetapi menolongnya memahami kelebihan dan kelemahannya,potensi dan keupayaannya.
Patterson dan Eisenberg (1983) menghuraikan kaunseling sebagai proses pertemuan secara bersemuka di antara seorang kaunselor dengan kliennya yang membawa perubahan klien pada akhirnya.
Mengikut Kamus Dewan (1998), kaunseling merupakan proses teratur yang melibatkan perbincangan yang rapi tentang masalah yang dihadapi oleh seseorang dan usaha mengatasi atau menyelesaikannya menerusi bimbingan dan nasihat.
Berdasarkan huraian di atas, kita boleh rumuskan bahawa konsep bimbingan adalah saling berkait dengan konsep kaunseling. Sebagaimana yang dihuraikan oleh G.S. Belkin dalam bukunya Practical Counseling in the Schools, beliau menulis :
“bimbingan merangkumi aspek-aspek orientasi, inventori, maklumat pendidikan dan kerjaya. Manakala, kaunseling merupakan penempatan dan perkhidmatan.”
Kesimpulannya, kaunseling merupakan sebahagian proses daripada perkhidmatan bimbingan. Di peringkat sekolah, kaunseling merupakan proses pertemuan secara bersemuka di antara seorang guru bimbingan yang memainkan peranan sebagai kaunselor, dengan seorang pelajar (disebut sebagai klien) yang menghadapi masalah peribadi atau akademik, dengan tujuan membawa perubahan tingkah laku pelajar itu ke arah menyelesaikan masalah yang dihadapinya. Bimbingan merangkumi segala aspek seperti orientasi, inventori, penempatan, kaunseling, tunjuk ajar dan nasihat serta tindakan susulan.
Perbezaan Bimbingan dan kaunseling
Bimbingan:
-Semua orang boleh memberi bimbingan contohnya ibu bapa, rakan sebaya, dan jiran.
-Dalam bimbingan ada kaunseling sama ade tersirat atau tersurat.
-Bimbingan untuk semua aspek sama ada dari segi kelakuan atau dari segi rohani.
-Berlaku di mana-mana sahaja iaitu di rumah, di kelas, dan di tempat-tempat awam contohnya taman permainan.
Kaunseling
-Pengaplikasian teori dan pengetahuan semasa melakukan sesi kaunseling.
-Mempunyai bilik khas yang dinamakan bilik kaunseling.
-Pertemuan secara bersemuka antara kaunselor dengan klien bukan di dalam telifon.
-Kaunselor mestilah bertauliah, mempunyai lesen, menghadiri kursus bimbingan dan kaunseling.
-Mestilah mematuhi garis panduan dan kod etika.
Matlamat Bimbingan dan Kaunseling
1. Mengubah tingkah laku kepada kehidupan yang lebih produktif.
2. Memulakan dan meneruskan hubungan yang positif.
3. Mengurus diri dengan lebih efektif.
4. Klien membuat keputusan dengan rasional.
5. Klien berkembang secara positif.
Prinsip-prinsip Kaunseling
1. Kaunselor tidak membuat keputusan untuk klien.
2. Klien hendaklah diterima sebagai individu dan dilayan dengan baik.
3. Orentasi kaunseling haruslah ke arah kerjasama dan bukan paksaan.
4. Mengiktiraf kaunselor sebagai seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan.
Kepentingan Bimbingan dan Kaunseling
* Memberi nasihat dan panduan kepada yang memerlukan.
* Menyelesaikan masalah secara profesional.
* Membanti dengan menjadi teman pendengar yang baik.
* Merupakan sumber maklumat yang boleh dipercayai
Etika kaunseling
1. Perlindungan kepada kaunselor, jika berlaku sesuatu bukan sebab kesalahan kaunselor.
2. Perlindungan kepada klien iaitu dari layanan atau tindakan tidak profesional kaunselor.
3. Panduan kepada pengamal kaunseling.
4. Tingkatkan tahap profesionalisme kaunselor.
JENIS-JENIS PERKHIDMATAN KAUNSELING DI SEKOLAH
1) Perkhidmatan Inventori Individu dan Rekod Pelajar
* Mengumpul dan merekodkan butir-butir berkaitan dengan penialain dan pentafsiran minat murid-murid.
* Mengawasi corak kehadiran murid-murid yang dirujuk untuk tujuan bimbingan dan kaunseling.
* Menyelaras, menjaga dan mengemaskini rekod murid-murid.
* Mengendalikan fail bimbingan bagi setiap murid.
2) Perkhidmatan Bimbingan Kelompok
* Mengadakan bimbingan kelompok tentang masalah disiplin, pelajaran, sosial dan sebagainya dari masa ke semasa.
* Membantu murid-murid memilih mata pelajaran pilihan mereka untuk peperiksaan PMR, SPM dan STPM sebelum mereka meninggalkan sekolah rendah.
* Memberi motivasi kepada murid-murid yang akan menghadapi peperiksaan,
3) Perkhidmatan Kaunseling
* Pencapaian akademik murid-murid yang kurang memuasakan.
* Ketidakhadiran pelajar dalam kegiatan kokurikulum.
* Masalah-masalah disiplin seperti lewat ke sekolah, ponteng sekolah, merokok dan penyalahgunaan dadah.
4) Perkhidmatan Mencegah Penyalahgunaan Dadah
* Mengadakan bimbingan individu atau kelompok untuk menanam dan memupuk sikap benci akan dadah.
* Memberikan pertolongan kepada murid-murid untuk mendapatkan bantuan pemulihan atau rawatan.
* Memberikan bantuan kepada murid-murid supaya dapat menyesuaikan diri ke alam persekolahan yang lebih tinggi selepas diberikan bantuan pemulihan.
5) Perkhidmatan Penyelarasan Sumber
* Menjadi pakar rujuk dalam aktiviti kokurikulum di sekolah.
* Menjadi penyelaras dalam melibatkan orang kenamaan atau agensi-agensi luar seperti pihak konsultan dalam program bimbingan di sekolah.
* Menjadi penyelaras dan merancang untuk memperkenalkan aktiviti bimbingan kepada agensi-agensi dan komuniti tempatan.
6) Perkhidmatan Perbincangan dengan Ibu Bapa
* Bekerjasama dengan ibu bapa murid-murid untuk bersama-sama mengawasi kemajuan mereka terutamanya dalam akademik.
* Menghubungi ibu bapa pelajar sekiranya keputusan mereka tidak memuaskan.
* Menjadi penyelaras program orientasi untuk pelajar dan ibu bapa.
* Mengadakan sesi bimbingan antara ibu bapa pelajar sekiranya masalah seseorang pelajar itu berpunca daripada keluarga.
7) Perkhidmatan Penilaian
* Melaksanakan program pembimbing rakan sebaya dan program latihan seperti Kem Jati Diri.
* Menilai modul dan model bimbingan sebelum dilaksankan di sekolah.
* Membuat penilaian aktiviti bimbingan di sekolah dengan tujuan untuk membaiki diri pelajar.
TEORI KAUNSELING
TEORI PSIKOANALISIS SIGMUND FREUD
1) Prinsip Utama Tingkah Laku Yang Mempengaruhi Manusia
* Prinsip Keseronokan
Segala tingkah laku manusia didorong oleh kehendak untuk memperolehi keseronokan dan berusaha untuk mengelak daripada pengalaman yang pahit atau menyakitkan.
* Prinsip Polariti
Freud menyatakan bahawa manusia menemui nilai dan kualiti dalam kehidupan seharian seperti aspek baik buruk, hidup mati dan sebagainya.
* Prinsip Pengulangan Aktiviti
Manusia melakukan sesuatu tindakan adalah hasil daripada proses pelaziman serta mengulangi apa-apa aktiviti untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan dalam kehidupan manusia.
* Prinsip Realiti Kehidupan
Tingkah laku manusia telah disesuaikan dengan melihat kepada batasan realiti dan bukan hanya bertindak secara mengikut rasa hati sendiri sahaja.
* Alam Sedar
Menurut Freud, manusia sememangnya menyedari dan mengetahui apa-apa peristiwa yang berlaku dan telah berlaku dalam persekitaraanya .
* Alam Prasedar
Proses ini bermaksud antara sedar ataupun tidak sedar iaitu manusia tidak sedar dan mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya kecuali apabila diberikan perhatian secara sedar.
* Alam Tidak Sedar
Dalam tahap ini, seseorang individu itu tidak sedar langsung apa yang berlaku di sekelilingnya seperti peredaran darah dalam tubuh badan manusia.
2) Pandangan Mengenai Manusia
* Personaliti manusia terdiri daripada id, ego dan superego.
* Id adalah nafsu dan wujud sejak lahir, tidak matang serta bertindak secara tidak logik.
* Ego adalah mengawal personaliti seseorang, mengawal fungsi kognitif serta mendorong manusia bertindak waras.
* Superego adalah penentu tingkah laku baik atau buruk. Ia bertindak menyekat ego daripada menuruti id dan mendorong id menerima nilai dan matlamat moral.
3) Peringkat-peringkat Perkembangan Personaliti
* Peringkat Oral ( lahir-18 bulan)
Kanak-kanak perlukan kasih sayang dan keputusan dari ibu bapa daripada aktiviti menghisap ( sebulan 18 bulan) dan menggigit ( selepas 18 bulan).
* Peringkat Anal atau Dubur ( 2-4 tahun )
Kanak-kanak sudah pandai mengawal fungsi biologi iaitu membuang air kecil dan membuang air besar.
* Peringkat Falik (4-6 tahun )
Kanak-kanak telah mempunyai perasaan sendiri terhadap individu di sekelilingnya maka ibu bapa mestilah memainkan peranan penting dalam memenuhi perasaan kanak-kanak agar tidak berlaku konflik.
* Peringkat Pedalaman ( 6-12 tahun )
Pada peringkat ini, kasih sayang dan keberanian telah bertukar kepada rakan sebaya maka jika kanak-kanak ini berjaya mengawal perasaanya, mereka boleh menjadi orang yang baik.
* Peringkat Kejantinaan ( 12 tahun ke atas )
Peringkat ini dikatakan awal keremajaan, mereka mula minat terhadap rakan sebaya yang berlainan jantina. Menurut freud juga tenaga seks ( libido ) akan mendorong seseorang individu itu menaruh minat terhadap individu diluar keluarga mereka.
4) Proses dan Teknik dalam Teori Psikoanalisis
* Perkaitan Bebas
Kaedah perkaitan bebas ini digunakan untuk mengingat dan meluahkan emosi yang berkaitan dengan keadaan-keadaan traumatik masa lalu.
* Pentafsiran
Pentafsiran adalah prosedur asas yang digunakan untuk menganalisis perkaitan bebas mimpi, penahanan dan pemindahan. Oleh itu, kaunselor perlulah memberikan petunjuk dan penjelasan kepada klien tentang makna tingkah laku di antara maksud perkaitan bebas mimpi, penahanan dan pemindahan.
* Tafsir Mimpi
Freud beranggapan bahawa mimpi adalah jalan ke alam tidak sedar kerana di dalam mimpi terdapat peristiwa yang tidak biasa muncul di alam sedar.
* Transferens
Klien akan berkongsi pengalaman yang dialaminya semasa zaman kanak-kanaknya dahulu kepada kaunselor. Oleh itu, kaunselor perlulah cuba memahami dan mentafsirkan curahan perasaan dan pengalaman ini supaya klien sedar akan sebab-sebab berlakunya tindakan yang tidak rasional dari dirinya selama ini.
5) Peranan Kaunselor
* Menyedarkan klien dari alam tidak sedar kepada alam sedar.
* Membina semula asas personaliti klien.
* Membantu klien yang menghadapi konflik akibat ingin melupakan atau menghapuskan pengalaman pahit masa lampau.
* Membantu klien untuk menangani masalah tekanan akibat daripada pengalaman pahit dan masa lampau.
6) Peranan Klien
* Bersetuju untuk menghadiri sesi-sesi yang telah ditetapkan.
* Bersetuju menurut peraturan-peraturan biasa dalam psikoanalisis.
* Bersedia dalam melibatkan diri dalam proses kaunseling yang intensif.
PROSES-PROSES KAUNSELING
PRASESI
Merujuk kepada persedian bagi Guru Bimbingan atau Kaunselor untuk memberikan khidmat membimbing atau kaunseling.(Mizan & Halimatun)
Persediaan merangkumi aspek:
a) situasi di mana khidmat kaunseling diberikan.
b) jenis klien (dirujuk atau datang secara sukarela.)
Kemahiran prasesi sangat penting bagi seorang Guru Bimbingan atau Kaunselor untuk memastikan sesi kaunseling berjalan lancar.
Sebelum sesi kaunseling dimulakan,kaunselor hendaklah:
1. Menyediakan borang yang berkaitan,contohnya borang maklumat latarbelakang murid,borangtemujanji, borang rujukan dan lain- lain.
2. Maklumat latarbelakang- umur,darjah,ahli keluarga, masalah ingin dibincang,rujukan kes dll.
Menyemak diskripsi tugas klien.
3. Menyemak rekod- rekod klien untuk mendapatkan maklumat.
4. Menyediakan tempat dan masa yang sesuai untuk mengadakan sesi kaunseling.
MEMBINA HUBUNGAN
Shertzer dan Stone (1968) –
menitikberatkan pada interaksi antara kaunselor dengan klien sebagai hubungan bagi menolong.
Tujuan :
1. menimbulkan kemesraan, keakraban, saling mempercayai , membina keyakinan dan membentuk suasana selamat serta selesa antara kaunselor dan klien.
2. Membina persefahaman yang baik.
3. Menyediakan suasana yang harmoni dan menolong
Beberapa Perkara Yang Perlu Dititikberatkan
• Suasana terapeutik
• Ruang untuk berkomunikasi
• Penampilan diri
• Ekspresi muka
• Pertemuan mata
• Cara duduk dalam sesi kaunseling
• Pergerakan tangan dan kaki
Menurut Sipora (2003), sifat persekitaran fizikal pejabat kaunselor adalah pembolehubah penting, persekitaran fizikal yang kondusif, dilengkapi perabot dan susunan yang selesa adalah asas menggalakkan perhubungan. Kemesraan kaunselor akan menunjukkan minatnya, perhatiannya, kerelaa dan kesediaannya terhadap persoalan klien.
Pada tahap ini juga penstukturan digunakan bagi membantu klien mengetahui jangkaan sebenar mengenai kaunselor dan kaunseling dan memberitahu klien beberapa idea yang terlibat dalam metod dan tujuan kaunseling.
MENEROKA, ANALISIS MASALAH
Membolehkan kaunselor memahami aspek-aspek klien dari segi nilai, kepercayaan, harapan, cita-cita, aspirasi, sikap, helah bela diri serta kemahiran coping yang digunakan
Penerokaan perlu bergerak daripada permukaan (surface) ke tahap yang mendalam
Tujuan:
• supaya kaunselor dan klien dapat memahami permasalahan dengan betul
• membantu klien menganalisis masalah dengan lebih objektif
• Bantu klien mencapai kesedaran kendiri dan kelemahan diri
satu perkara penting dalam tahap ini ialah, begitu banyak maklumat mungkin diperolehi, kaunselor perlu membawa klien meneroka satu masalah yang dirasakan penting secara lebih mendalam.
MENGENAL PASTI MASALAH
Tahap klien bersama kaunselor mencapai kesepaduan mengenai masalah yang dihadapi oleh klien.
Klien menyedari kelemahan dan masalah yang dihadapi selama ini.
Sipora (2003) menyatakan dua kemahiran utama yang digunakan oleh kaunselor dalam mengenalpasti persoalan adalah kemahiran mendengar dan meneroka.
Proses meneroka harus menekankan aspek kemahiran menyoal.
Pada tahap ini 2 tugasan mesti dilaksanakan iaitu:
Matlamat kaunseling telah sama-sama dipersetujui.
Kaunselor bersama klien akan membuat keputusan pendekatan mana serta apakah strategi yang hendak digunakan
Kepentingan tahap ini ialah ia merupakan satu persetujuan antara kaunselor dan klien mengenai persoalan yang dihadapi oleh klien. Dengan persetujuan ini, maka mudah bagi menentukan satu matlamat yang boleh merungkai persoalan yang dinyatakan. Persetujuan ini akan menentukan halatuju kejayaan klien.
MEMBINCANG ALTERNATIF
Alternatif ialah pilihan-pilihan yang mungkin atau kemungkinan-kemungkinan langkah yang boleh di ambil bagi mengendalikan sesuatu perkara. Alternatif hanya dibincangkan setelah klien dan kaunselor memahami masalah yang dibincangkan dengan jelas. Kaunselor akan merumuskan permasalahan dan dipersetujui oleh klien bahawa itulah tindakan terbaik yang perlu di ambil.
Jelas di sini bahawa dalam fasa membincangkan alternatif, memerlukan klien membuat keputusan dan bertanggungjawab di atas alternatif yang dipilih. Matlamat kaunseling perlulah mengikut kemahuan klien dan bukan kehendak kaunselor semata-mata. Walaupun demikian kehendak ini perlulah dipersetujui bersama. Tahap ini akan menyediakan klien untuk merangka alternatif mengikut kemampuannya sendiri yang mana ia akan merasa selesa dalam mengurus masalah yang dialami.
MENGAMBIL TINDAKAN
Selepas alternatif telah dipersetujui, kaunselor boleh membantu klien dengan membuat pelan tindakan untuk memenuhi alternatif tersebut.
Tindakan yang jelas dari segi objektif dan mengambil kira keupayaan klien untuk melaksanakan tindakan tersebut.
Klien boleh memulakan tindakan yang mudah dan kurang menimbulkan tekanan kepada diri klien untuk dilaksanakan.
MENAMATKAN SESI
Merupakan peringkat akhir dalam sesi kaunseling. (Selepas klien dapat menentu dan memilihalternatif yang dirasakan dapat mengatasi masalah yang dihadapinya)
Penamatan dapat dilakukan apabila klien menunjukkan tanda-tanda bahawa dia tidak lagi memerlukan kaunseling.
Penamatan juga dilakukan sekiranya kaunselor menganggap diri tidak lagi dapat membantu klien mencapai objektifnya, iaitu kaunselor merujuk klien kepada pihak lain.
Menurut Mizan (2002), semua sesi kaunseling perlu ditamatkan. Penamatan dapat dibuat sekiranya klien merasakan sudah membuat keputusan dan dapat menghadapi masalahnya berdasarkan tindakan yang telah dibincangkan.
KEMAHIRAN KAUNSELING
1) Kemahiran Memerhati
Ø Memahami cara gaya pemikiran dan tingkahlaku klien semasa berinteraksi.
Ø Memahami setiap percakapan yang disampaikan oleh klien lebih-lebih lagi apabila berkaitan sesuatu konflik.
2) Menentukan Arah
Ø Mengutamakan klien kepada pemerhatian dan persepsi terhadap peristiwa dan individu yang dibincangkan.
Ø Meningkatkan kemahiran untuk membuka dan menutup perbincangan klien yang bersesuaian dengan keperluan sesuatu temubual.
3) Kemahiran Parafrasa
Ø Membantu klien untuk bercakap lebih spesifik mengenai sesuatu isu yang dibincangkan.
Ø Memaklumkan yang kaunselor mendengar dan mengikuti segala perluahan seseorang klien itu.
Ø Membantu klien dari mengulangi apa yang telah disampaikan.
4) Mengemukakan Soalan
Ø Mengemukakan soalan yang merangkumi soalan tersirat dan tersurat.
Ø Memastikan soalan yang dituju berkaitan dengan topik perbincangan iaitu masalah yang dikemukakan.
RUMUSAN
Dalam menjadi seorang kaunselor yang berkesan, syarat dan etika kaunselor adalah wajar dipatuhi oleh setiap kaunselor sepertimana yang diperincikan oleh Akta Kaunselor 1998(akta 580). Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA). dan etika-etika yang ditetapkan oleh organisasi-organisasi khusus yang memyediakan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling.
Pembentukan etika telah menghuraikan prinsip-prinsip asas sebagai panduan kepada tingkah laku kaunselor, yang boleh digunakan untuk menentukan keberkesanan sesuatu sesi kaunseling. Oleh itu, kaunselor haruslah berpegang kepada etika kaunseling untuk menjamin kepakaran dirinya, keselamatan dan keselesaan klien.
RUJUKAN
Buku:
- Mohammad Aziz Shah Mohamed Arip, Mohammad Nasir Bistaman, PH.D. Ahmad Jazimin Jusoh, PH.D., Syed Sofian Syed Salim, Md. Noor Saper ; (2009) ; Kemahiran Bimbingan dan Kaunseling ; PTS Profesional Publishing Sdn. Bhd. ; Kuala Lumpur
- Amir Awang (1987). Pengajian Ilmu Pendidikan ; Teori dan Amalan Psikoterapi. Pulau Pinang; Universiti Sains Malaysia
Link:
- http://www.academia.edu/5604528/Etika_Kaunseling
- http://www.academia.edu/6758332/Kepentingan_Pendekatan_Kaunseling_dalam_Menangani_Masalah_Kemurungan_Pelajar_Universiti_Pendidikan_Sultan_Idris
- http://www.academia.edu/8008157/TEORI-TEORI_KAUNSELING
- ddms.usim.edu.my/PDF/Bimbingan dan Kaunseling
No comments:
Post a Comment